fb fb fb fb fb

285 barangan ajaran sesat Al-Arqam ditemui di Melaka

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman turut serta dalam operasi itu hari ini

MELAKA, 21 September – Sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran sesat Al-Arqam ditemui dan disita dalam satu operasi besar-besaran yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama pihak polis hari ini.

Antara barangan yang disita termasuk 12 keping gambar pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, buku-buku ajaran Al-Arqam, diari catatan, cakera padat, serta serban yang dipercayai digunakan dalam aktiviti keagamaan mereka.

Dalam operasi Ops Global itu, seramai 11 individu berusia antara 18 hingga 45 tahun ditahan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di Melaka Tengah, Alor Gajah, dan Jasin.

“Lapan wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun telah ditahan kerana disyaki masih mengamalkan ajaran Al-Arqam dan memiliki bahan-bahan penerbitan berkaitan ajaran Al-Arqam.

“Kesalahan tersebut diperuntukkan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

“Selain itu, JAIM turut bertindak mengikut bidang kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam (Negeri Melaka) 2002,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi dilakukan di 19 buah premis masing-masing 3 buah rumah persendirian, 2 buah rumah kebajikan dan 14 premis perniagaan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN