KOTA KINABALU, 24 Jun - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 2,500 karton minuman keras bernilai hampir RM348,000 termasuk duti dan cukai tidak berbayar yang disyaki diseludup masuk dari Labuan, pada 12 Jun lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Datuk Nasir Deraman berkata, semua minuman keras itu cuba disembunyikan di bawah tong biru untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Rampasan dilakukan hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori di kilometer 1 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, Kampung Novoung, Papar kira-kira pukul 11 malam oleh pasukan serbuan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu.
"Seorang lelaki tempatan yang merupakan pemandu lori berusia 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
"Pasukan serbuan telah menahan dan memeriksa sebuah lori yang membawa muatan 30 tong biru yang disusun di permukaan atas muatan lori.
"Hasil pemeriksaan lanjut muatan lori tersebut menemui 2,500 karton minuman keras berlabel duti tidak berbayar (MDNP) pelbagai jenama yang disusun dan diletakkan di bawah timbunan tong biru tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Nasir menyatakan jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dan minuman keras pelbagai jenama itu dianggarkan sebanyak RM451,223 termasuk duti serta cukai.