KUALA LUMPUR, 24 Jun - Lima lelaki, dipecayai ahli kumpulan samun dikenali "Geng Trio" dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menyamun antara Januari hingga Februari lepas.
Majistret Aina Azahra Ariffin menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan ke atas Mohd Suah Rizal Saidin, 37, Muhamad Shafiq Abdullah, 29, Khairul Kusairi Kamaruddin, 32, Norhalim Mohd Karim, 31, dan Muhammad Nur Afiq Zulkipli, 29.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 28 Mac lalu.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, mereka didakwa meragut tiga utas rantai leher emas bernilai RM21,100 milik tiga individu di lokasi berasingan di Sentul, Wangsa Maju dan Dang Wangi pada 5.30 petang, 10 Jan dan 3.02 petang 4 Feb lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya Izzat Amir Idham manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Jean Francis dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sementara itu, di hadapan Majistret Amira Abdul Aziz, kelima-lima tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyamun di Jalan 2/48A Bandar Baru Sentul pada 4.19 petang, 4 Feb lepas mengikut akta sama.
Amira turut menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Muhamad Shafiq dan Khairul Kusairi, yang turut mengaku bersalah atas satu pertuduhan serupa di Fakulti Pergigian Pusat Perubatan Universiti Malaya, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, di Brickfields di sini pada 11.35 malam, 23 Feb lepas mengikut akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Simret Singh dari YBGK. - BERNAMA