fb fb fb fb fb

16 individu ditahan, barangan lebih RM40 juta dirampas

Kilang memproses barang berjadual e-waste di Kulai yang dilakukan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor/ PDRM

JOHOR BAHRU, 27 Februari- Polis menahan 16 individu dan merampas sejumlah barangan bernilai lebih RM40 juta menerusi dua operasi berasingan di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi operasi ke atas sebuah kilang memproses barang berjadual e-waste di Kulai yang dilakukan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor berjaya merampas sejumlah barangan bernilai lebih RM41 juta.

"Operasi pada Selasa lalu hasil risikan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kulai. Turut ditahan, seorang lelaki tempatan, dan 14 warga asing termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 49 tahun.
 
"Kilang memproses e-waste itu dipercayai beroperasi sejak empat bulan lalu. Antara yang dirampas, 696 tan timah bernilai kira-kira RM23 juta dan 1,290 tan bateri bernilai lebih RM6 juta," menurut kenyataan itu.
 
Sementara itu menerusi satu lagi operasi ke atas sebuah kilang di Pasir Gudang, di sini membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun termasuk rampasan 11,200 liter minyak masak belum diproses dan mesin pemprosesan biodiesel.

Kilang berkenaan dipercayai memproses minyak sawit tidak berlesen dan operasi berkenaan mendapat kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) wilayah selatan.

Nilai keseluruhan rampasan menerusi operasi itu dianggarkan RM1.64 juta.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63, Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 3(1) dan Seksyen 49(2) Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKu 2019.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI