fb fb fb fb fb

143 pokok ganja bernilai RM3.6 juta dirampas di Miri

Pokok ganja yang dirampas/Foto RTM

MIRI, 15 September – Polis berjaya merampas 143 pokok ganja yang dianggarkan bernilai RM3.6 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Piasau, di sini pada Jumaat lalu.

Susulan itu, dua lelaki tempatan berusia 41 dan 61 tahun ditahan bersama 1,742.2 gram dadah ganja.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata kedua-dua suspek dipercayai menanam pokok ganja tersebut sejak sembilan bulan lalu.

"Modus operandi mereka ialah membeli benih pokok ganja dari luar negara secara dalam talian dan menghantarnya menggunakan perkhidmatan kurier.

“Suspek menanam pokok ganja di kawasan kediaman secara sulit. Dadah yang dihasilkan akan dijual sekitar kawasan Miri pada harga RM100 untuk 100 gram,” katanya pada sidang media di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Miri, di sini hari ini.

Menurutnya, rampasan itu adalah yang terbesar membabitkan dadah jenis ganja di Sarawak tahun ini dan kedua terbesar selepas penangkapan di Sibu pada Julai 2022 yang hanya melibatkan 34 pokok ganja.

Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Tetra Hydro Cannabinol (THC), namun mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Polis turut menyita harta bernilai RM24,500, termasuk sebuah kereta dan motosikal, di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali bagi kesalahan menanam pokok ganja.

Kedua-dua suspek juga disiasat di bawah Seksyen 39B akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan mengedar dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-208 7222.

GRACE AISYAH KEDAYAN