fb fb fb fb fb

Video pengakuan tular: Polis akan siasat pengakuan Pengerusi GISBH

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 September – Pihak polis kini sedang menyiasat pengakuan yang dibuat oleh Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, berkenaan dakwaan liwat terhadap kanak-kanak di rumah amal GISBH.

Pengakuan tersebut muncul dalam sebuah video tular baru-baru ini, yang mana Nasiruddin mengesahkan kejadian tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika dihubungi RTM berkata, fokus utama siasatan kini adalah terhadap dakwaan eksploitasi kanak-kanak.

"Kita akan selesaikan siasatan berkenaan eksploitasi kanak-kanak itu dahulu, kemudian barulah kita akan fikirkan langkah seterusnya," ujar beliau.

Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan pengakuan Nasiruddin mengesahkan dakwaan liwat terhadap kanak-kanak di rumah amal terbabit selain meminta bantuan derma untuk membayar kos guaman.

Setakat ini, seramai 384 kanak-kanak yang terlibat telah selesai menjalani saringan kesihatan, di mana terdapat tanda-tanda pengabaian dan penganiayaan.

Polis juga telah mengambil keterangan daripada 483 individu, termasuk saksi, mangsa, pengadu, dan suspek.

Operasi polis yang dilakukan pada Rabu lalu melibatkan serbuan di rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, yang menyaksikan seramai 402 individu, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun, berjaya diselamatkan.

GRACE AISYAH KEDAYAN