fb fb fb fb fb

11 PATI ditahan dalam Op Sapu di Terengganu

11 PATI ditahan dalam Op Sapu di Terengganu / Foto Hiasan / Bernama

KEMAMAN, 3 Jun – Seramai 11 pendatang tanpa izin (PATI), termasuk seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun, ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan, Op Sapu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu.

Operasi selama 10 jam yang dijalankan pada Isnin lalu melibatkan serbuan ke atas tujuh premis sekitar daerah Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut kenyataan JIM negeri, seramai 44 individu telah diperiksa dan 11 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Mereka terdiri daripada empat warga Bangladesh, lima warga Indonesia, dan dua warga Thailand, berusia antara lima hingga 49 tahun.

"Kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut. Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa di negara ini," menurut kenyataan itu.

Dalam operasi yang sama, satu notis kehadiran turut dikeluarkan kepada seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun untuk hadir ke pejabat imigresen bagi memberi keterangan dan disiasat di bawah akta yang sama.

JIM Terengganu menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras kehadiran PATI di negeri itu dan menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN