fb fb fb fb fb

10 termasuk penjawat awam ditahan disyaki edar dadah

Khaw Kok Chin (Kenyataan Media PDRM)

KUALA LUMPUR, 8 September- Seramai 10 individu termasuk seorang penjawat awam ditahan dalam dua operasi berasingan di seluruh negara dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

Pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2 juta turut dirampas.

Serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bermula 5 September lalu menyaksikan tangkapan suspek berusia antara 27 hingga 52 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi dikenali sebagai "Op Telomian" dilancarkan di sekitar ibu negara, menahan tiga lelaki dan dua wanita termasuk seorang warga Thailand.

Hasil pemeriksaan, pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat lebih 50 kilogram serta peralatan seperti penimbang digital, pelekat dan plastik dirampas.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 38 tahun yang disyaki mendalangi sindiket berkenaan turut ditahan dalam serbuan ke sebuah kuarters kerajaan di Kajang, Selangor.

Operasi diteruskan dengan empat siri serbuan menerusi "Op Tosa" di Johor yang menyaksikan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

Polis menemui lebih 5.6 kilogram pelbagai jenis dadah termasuk 499 biji pil Erimin 5 serta menyita tiga buah kereta, wang tunai dan lima barang kemas dengan jumlah sitaan dianggarkan lebih RM150,000.

JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Modus operandi sindiket melibatkan pembekalan dadah dalam kuantiti besar sebelum dijual secara kecil-kecilan kepada pengguna tempatan dengan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh kira-kira 30,000 penagih.

SITI AISHAH MD ISA