KUALA LUMPUR, 18 Mac- Tumpuan pastinya terarah pada saingan suku akhir perseorangan lelaki kejohanan badminton 'All England' apabila jaguh nombor satu negara, Lee Zii Jia dijadual menentang pemain nombor dua dunia, Kento Momota dari Jepun.
Saingan yang akan berlangsung awal pagi esok juga bakal menjadi pertemuan ulangan edisi 2021.
Penyandang juara Zii Jia, mara ke peringkat lapan terakhir selepas menyingkirkan pemain Kanada Brian Yang dengan keputusan 26-24, 21-11 pada pusingan kedua di Arena Birmingham, pada awal pagi tadi.
(Lee Zii Jia -BERNAMA)
Sementara, Juara 2019 Momota pula melangkah ke saingan suku akhir dengan menundukkan Heo Kwanghee dari Korea Selatan 21-16, 21-12.
Pertemuan dua pemain tersebut pada aksi suku akhir All England kali ini pastinya akan menjadi misi balas dendam Momota selepas beliau tewas dalam kempen sama sebelum ini.
Dalam 10 pertembungan dengan Momota sebelum ini, Zii Jia hanya pernah menang dua kali, dan kali pertama adalah pada suku akhir All England 2021.