KUALA LUMPUR, 10 April - Pemanah elit negara Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli memasang impian besar untuk merangkul pingat emas pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam bulan depan.
Misi itu kian membara untuk dilunaskan Muhammad Zarif, 23, selepas hanya meraih pingat perak dan gangsa masing-masing bagi acara recurve berpasukan lelaki dan berpasukan campuran pada penampilan di Sukan SEA 2019 di Manila.
“Saya dan pasukan sememangnya menyasarkan untuk membawa pulang pingat emas...biarlah benda yang lepas (pencapaian di Manila) itu berlalu.
“Kami jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk meraih pingat emas pada temasya itu tahun ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengenai persiapan menjelang temasya dwitahunan itu, Muhammad Zarif yang kini menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil berkata beliau bersama seorang lagi pemanah elit Khairul Anuar Mohamad akan menyertai dua kejohanan simulasi anjuran Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), bulan ini.
Kejohanan dijadual berlangsung pada 13-15 April dan 20-22 April di Lapang Sasar Memanah MSN itu adalah kejohanan pemanas badan buat skuad memanah negara sebelum berlepas ke Sukan SEA Hanoi yang akan diadakan dari 12 hingga 23 Mei ini.
Pada edisi di Manila, skuad memanah kebangsaan membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Pingat emas diperoleh dalam acara compound berpasukan lelaki yang dibarisi Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan M Khambeswaran.
Sementara pingat perak menerusi Fatin Nurfatehah Mat Salleh bagi compound individu dan recurve berpasukan lelaki manakala gangsa bagi recurve berpasukan campuran. - BERNAMA