PETALING JAYA,10 April - Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus mengekalkan gelembung sukan bagi melindungi kontinjen negara daripada jangkitan COVID-19 sebelum berlepas ke temasya Sukan Sea di Hanoi, Vietnam bulan depan.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) MSN, Suhardi Alias berkata pihaknya akan mula menerima atlet pada 17 April ini.
Sebagai persiapan awal, semua atlet akan dipanggil menjalani latihan pusat di Bukit Jalil dan sepanjang tempoh itu mereka dilarang menerima tetamu.
(Suhardi Alias dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Dan Infak
melibatkan golongan asnaf dan anak-anak Persatuan Gabungan Muaythai Selangor (PGMS) 2022)
"Sebenarnya tujuan kita meletakan mereka masih lagi dalam gelembung sukan adalah untuk memastikan persediaan yang telah kita laksanakan khasnya dari segi persediaan Sukan Sea di Vietnam ini sejak tahun 2020 lagi akan terus berjalan lancar tanpa sebarang jangkitan baharu dalam perkampungan latihan," kata Suhardi kepada media selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Dan Infak melibatkan golongan asnaf dan anak-anak Persatuan Gabungan Muaythai Selangor (PGMS) 2022, di sini.
Tambah beliau, bagi mengurangkan rasa kerinduan kepada keluarga menjelang Aidilfitri nanti, sambutan ringkas akan diadakan.
Kumpulan pertama atlet akan berlepas ke Vietnam pada 7 Mei depan.