GEORGIA, 8 April - Bekas pemain nombor satu dunia, Tiger Woods membuat kemunculan semula dalam kejohanan kompetitif buat kali pertama dengan mencatat satu bawah par 71 di pusingan pertama Kejuaraan Masters di Augusta awal pagi tadi.
Saingan tersebut bagaimanapun didominasi pemain Korea Selatan, Im Sung-jae yang muncul pendahulu hari pertama dengan catatan lima di bawah 67 pukulan.
Sung-jae melakukan satu eagle dan lima birdie bagi memperbaiki catatan dua bogey sebelum itu, sekali gus mendahului pencabar terdekat, Cameron Smith dari Australia dengan satu pukulan.
Pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler, juara edisi 2020, Dustin Johnson dan juara edisi 2016, Danny Willett terikat di tangga ketiga dengan catatan tiga di bawah 69 pukulan.
Bagaimanapun, tumpuan penonton lebih kepada aksi Woods yang mencatat 71 pukulan untuk berada di tempat ke-10.
Ini kejohanan pertama Woods selepas pulih daripada kecederaan kaki akibat kemalangan pada Februari 2021.
Juara 15 gelaran major itu melakukan catatan birdie di lubang ke-16 dan meraikan kejayaan dengan gaya tersendirinya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.