fb fb fb fb fb

Wartawan veteran hiburan, Huzz meninggal dunia di Bertam

Allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Wartawan hiburan veteran Kamal Huzaini Kamaludin, 58 tahun meninggal dunia di rumah abangnya di Bertam Kepala Batas Pulau Pinang.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Huzz dalam kalangan industri seni dilaporkan meninggal kira-kira pukul 6.10 petang tadi.

Berita duka itu juga dikongsikan adik perempuannya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BERNAMA Nu-rul Afida Kamaludin menerusi satu hantaran di Facebook.

Keadaan Allahyarham mula merosot selepas dilaporkan hilang selera makan dan semakin kritikal.

Pada Mac lalu Huzz dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di dalam ususnya.

Beliau kemudian didiagnos menghidap kanser usus tahap empat.

Huzz juga sempat melakukan beberapa siri rawatan oleh pihak hospital sebelum beliau tidak mampu lagi untuk melawan penyakitnya.

Beliau memulakan kerjaya pada awal tahun 1990-an sebagai wartawan di Utusan Melayu (M) Berhad sebagai wartawan majalah URTV.

Huzz bersara sepenuhnya pada tahun 2019 selepas syarikat itu menutup operasi dan jawatan terkahirnya ketika itu adalah sebagai Pengarang URTV.

Allahyarham juga berpeluang menulis lirik untuk artis tempatan dan antara yang popular ialah lagu nyanyian Ramlah Ram yang berjudul Keangkuhan Mu pada tahun 1995.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI