fb fb fb fb fb

Vin Diesel berdepan tuntutan saman seksual oleh bekas pembantu

Foto Reuters

LOS ANGELES, 22 Disember- Bintang aksi Hollywood, Vin Diesel telah dituduh melakukan serangan seksual terhadap pembantunya di sebuah bilik hotel di Atlanta lebih sedekad lalu, menurut tuntutan mahkamah yang difailkan pada Khamis.

Saman itu adalah tuntutan terbaharu yang akan dikemukakan kepada mahkamah di California, yang telah memanjangkan tempoh masa di mana tindakan undang-undang boleh diambil dalam kes yang didakwa sebagai jenayah seksual.

Asta Jonasson berkata tugas pertamanya selepas diupah oleh syarikat bintang "Fast and Furious" itu adalah untuk pergi ke Atlanta pada September 2010 semasa penggambaran filem "Fast Five."

Dia ditugaskan untuk membantu Diesel meninggalkan hotel pada awal pagi selepas melayan ramai wanita dalam bilik, sebelum paparazi dimaklumkan tentang keberadaannya.

"Saya berseorangan di bilik hotel bersamanya. Vin Diesel melakukan serangan seksual terhadap Cik Jonasson. Vin Diesel secara paksa memegang Cik Jonasson, meraba-raba payudaranya dan menciumnya. Cik Jonasson bergelut berterusan untuk melepaskan genggamannya, sambil berulang kali berkata tidak."

"Vin Diesel kemudian meningkatkan serangannya dengan pelakon itu cuba menarik seluar dalam pembantunya," menurut kenyataan saman itu.

Keesokan harinya, Samantha Vincent, kakak kepada pelakon itu dan presiden One Race, syarikat hiburan yang menggaji Jonasson, telah memecatnya menerusi panggilan telefon.

"Mesej itu jelas. Cik Jonasson dipecat kerana berani menentang serangan seksual Vin Diesel, Vin Diesel akan dilindungi dan serangan seksualnya ditutup," kata saman itu.

Saman sivil menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan terhadap Diesel, Vincent dan syarikat mereka.

Jonasson telah mengetepikan hak untuk tidak dikenali yang lazimnya diberikan kepada mangsa yang didakwa terlibat dalam penderaan seks.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM