KUALA LUMPUR, 19 November- Vanessa Reynauld, 24 terus menyahut cabaran dan keluar daripada zon selesa dengan memanfaatkan peluang yang diberikan untuk menyanyikan lagu 'Anyam Kenangan' bagi fantasi seram.
Kali ini penyanyi yang memiliki vokal memukau itu tampil dengan buah tangan bernuansa balada yang dicipta oleh Bajai & Co manakala lirik nukilan Adrianna Cinta berkonsepkan siri tersebut.
"Oleh kerana tuntutan lagu ini dibuat untuk sebuah drama seram, emosi yang dipaparkan dalam lagu ini berkaitan dengan tema tersebut," jelas Vanessa membuka bicara.
Lagu itu mencerminkan kesukaran hidup yang berlawanan dengan harapan idealistik manusia secara umum.
Ia menceritakan tentang kepedihan dan kesakitan yang disebabkan oleh tindak-tanduk manusia serta dosa masa lalu yang masih perlu ditanggung.
Menurut Vanessa lagu itu merupakan sesuatu yang agak baharu buat dirinya dan dirinya teruja dengan tawaran tersebut.
"Sebaik sahaja menerima demo lagu ini dan diberitahu ia adalah lagu tema untuk sebuah drama seram, Vanessa terus bersetuju kerana ini merupakan sesuatu yang baharu buat saya.
"Lagipun saya memang ingin mencuba sesuatu yang berbeza dari apa yang sering saya persembahkan sebelum ini. Ia juga membolehkan saya memberikan warna berlainan pada karya ini dengan suara dan identiti khas Vanessa sendiri," katanya lagi.
Namun cabaran terbesar buat Vanessa dalam menyiapkan projek ini adalah tahap kesihatannya semasa proses rakaman.
"Sewaktu kali pertama memasuki studio untuk proses rakaman saya berada dalam keadaan tidak sihat. Ketika itu saya selesema dan nota asal lagu ini memang tinggi.
"Jadi saya terpaksa menunggu sekitar seminggu untuk pulih sepenuhnya sebelum merakamkan lagu ini dengan lebih baik," tambahnya lagi.
Menurut Vanessa, ketika merakamkan lagu ini, dia juga mengubah cara nyanyiannya demi memenuhi syarat lagu berkenaan.
"Saya dapat banyak idea untuk menyanyikan balada ini dengan bantuan penerbit vokal saya, abang Afif. Kami berjaya menemui cara terbaik untuk menyampaikan lagu ini.
"Semasa memasuki studio untuk sesi rakaman kedua selepas saya sembuh daripada selsema dan berjaya meneroka kemampuan vokal serta bakat saya dengan lebih jauh berkat bantuannya.Paling penting saya tetap memberikan yang terbaik dan menyahut cabaran yang diperlukan untuk lagu ini," jelasnya.
Sementara itu proses rakaman lagu itu juga berjalan dengan lancar dan disambung dengan proses penggambaran video muzik.
"Penggambaran video muzik memakan waktu yang lama. Kami bermula sekitar pukul 9.00 malam dan selesai kira-kira pukul 4.00 pagi. Ia memang hari yang panjang namun saya berpuas hati dengan hasil lagu dan klip videonya," ujar Vanessa.
"Semoga para peminat saya dapat menemui kelainan yang saya cuba tampilkan dalam lagu ini," kata Vanessa menutup bicara.
'Anyam Kayangan' boleh didengari menerusi semua platform muzik digital.