fb fb fb fb fb

Filem 'Gladiator III' dalam pembikinan- Ridley Scott

Pengarah, Ridley Scott (Kiri) bersama pelakon filem Gladiator II, Paul Mescal (kanan) di Tayangan Perdana Filem berkenaan /Foto REUTERS

LOS ANGELES, 20 November-Meskipun sekuel "Gladiator" yang ditunggu-tunggu, arahan Ridley Scott, belum lagi ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat, pengarah berpengalaman itu sudah pun memulakan kerja untuk menghasilkan filem ketiga siri epik tersebut.

Gladiator II, yang akan menemui penonton di pawagam AS pada Jumaat, menampilkan pelakon Ireland, Paul Mescal sebagai Lucius, anak kepada Maximus yang dilakonkan oleh Russell Crowe dalam filem asal yang memenangi beberapa Anugerah Oscar.

Filem tersebut, yang penuh dengan adegan darah, dendam, pengkhianatan, telah menerima ulasan positif dan meraih pendapatan kasar sebanyak AS$87 juta di box office global sejak ditayangkan di beberapa negara minggu lalu.

"Berdasarkan prestasi yang kami lihat di seluruh dunia, sudah pasti akan ada 'Gladiator III,'" kata Scott, yang hadir di sini pada Isnin untuk tayangan perdana filem tersebut.

"Kerana ia juga melibatkan aspek kewangan, dan adalah tidak masuk akal untuk tidak mempertimbangkan versi ketiga," tambah pengarah British yang terkenal dengan filem ikonik seperti "Blade Runner" dan "Thelma & Louise."

Plot "Gladiator II" juga dirancang untuk membuka peluang bagi sekuel, tambah Scott, seorang pembikin filem yang terkenal dengan kerja keras dan masih mengarahkan satu filem setiap tahun pada usia 86 tahun.

Filem kedua ini bermula dengan Lucius yang dihantar ke pengasingan oleh ibunya untuk mengelak darpada mati dibunuh di Rom.

Lucius berjuang dengan sia-sia untuk mempertahankan kota asalnya di Afrika Utara daripada kemaraan tentera Rom.

Ditangkap sebagai tawanan perang, dia dibawa kembali ke Rom, menyaksikan dia terpaksa membuktikan kemampuannya di Colosseum untuk membalas dendam terhadap Jeneral Marcus Acacius, yang dilakonkan oleh Pedro Pascal.

Pelakon Denmark, Connie Nielsen, kembali memegang peranan Lucilla daripada filem asal tahun 2000.

Sementara itu, Denzel Washington yang mencuri perhatian dengan peranannya sebagai Macrinus, pengelola pertarungan yang licik, mulai menerima pujian untuk pencalonan Oscar.

"Perhiasan, sandal, dan semuanya – saya nampak seperti seorang ‘pimp’ Romawi... saya tak boleh pakai cukup cincin," gurau Washington pada hari Isnin.

Sementara itu, Mescal yang wataknya bertarung dengan haiwan buas seperti babun, badak sumbu, dan jerung selain manusia dalam "Gladiator II" turut meluahkan rasa teruja untuk kembali beraksi dalam filem seterusnya.

Namun, beliau mengatakan Scott telah membincangkan plot baharu yang tidak hanya akan "kembali ke arena seperti yang diketahui umum.

“Perbualan terakhir saya dengannya. Scott berkata dia ada sembilan halaman skrip.

"Semalam, dia berkata, dia sudah mempunyai 14 halaman muka surat” kata Mescal kepada wartawan.

"Saya akan teruja jika ia berkembang ke arah dunia politik, dengan Lucius yang terjerumus dalam dunia intrig politik yang sebenarnya dia tidak mahu berada di situ, seperti Michael Corleone dalam 'The Godfather", tambah Mescal.

Scott turut ditanya mengenai bagaimana tema filem kedua berkenaan menangani kuasa dan politik berbeza dengan filem asal, Scott berkata Ia masih sama.

"Seorang lelaki kaya yang beranggapan dia boleh mengambil alih Empayar. Itu biasa, bukan?" katanya, hanya beberapa hari selepas Donald Trump dipilih semula sebagai Presiden AS.

"Kita tidak belajar apa-apa daripada sejarah.

"Kita terus mengulangi kesilapan yang sama. Kita sedang melalui perkara yang sama sekarang di beberapa bahagian dunia," tambahnya.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD