fb fb fb fb fb

Tuah 'Masing Masing', Ernie Zakri terima Anugerah Platinum

Ernie Zakri dan Ade Govinda/ Foto Universal Music Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Penyanyi terkenal negara Ernie Zakri, 32 terus melakar sejarah tersendiri apabila menerima Anugerah Platinum menerusi lagu popular Masing Masing.

Lagu ciptaan Ade Govinda itu dalam meraih jualan dan penstriman yang tinggi, serta sambutan hangat daripada peminat muzik dalam dan luar negara.

Universal Music Malaysia dalam satu kenyataan berkata, anugerah berkenaan juga diberikan kepada Ernie Zakri sebagai pengiktirafan Pencapaian Jualan Digital Seluruh Dunia.

Menurut Ernie, lagu Masing Masing mencipta kejayaan besar  dan memberikan impak positif dalam karier seninya.

"Alhamdulillah, sudah semestinya saya sangat gembira sebab lagu ini mencipta kejayaan yang sangat besar dalam karier saya. Lagu ini juga mendapat sambutan yang sangat besar sekali di Malaysia. Ia memberikan satu impak yang sangat positif dan juga memberikan satu memori dengan lagu Masing Masing.

"Lagu ini tidak hanya telah berjaya menjana perhatian yang meluas daripada peminat muzik, tetapi juga berjaya menarik minat ramai melalui platform digital. Prestasi lagu ini mencapai tahap penstriman dan jualan yang tinggi membuktikan kualiti serta daya tarikan yang dimiliki oleh karya ini.

"Bagi saya, lagu Masing Masing juga menonjolkan dimensi emosi yang mendalam, yang berjaya mengetuk jiwa dan perasaan peminat muzik," kata Ernie.

Kewibawaan vokal Ernie menerusi lagu Masing Masing turut menjadikan ia sebuah karya yang diingati selain kombinasi lirik yang menyentuh hati.

Dalam pada itu Juara Bintang RTM 2009 itu juga mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan padu kepada lagu berkenaan.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menyokong dan menjadikan lagu Masing Masing sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Anugerah Platinum ini adalah bukti kekuatan sokongan peminat, dan saya dedikasikan kejayaan ini kepada anda semua.

"Terima kasih sekali lagi kepada semua peminat dan pendengar yang sentiasa menyokong lagu Masing Masing dan disebabkan lagu ini juga album Aura mendapat sambutan yang sangat baik, Alhamdulillah.

"Teristimewa juga buat Ernienators, terima kasih kerana selalu menyokong, mendoakan dan sentiasa ada dengan saya. Saya juga berharap selepas ini, semoga lagu-lagu yang lain juga mendapat sambutan yang baik juga, insya-Allah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ernie juga dalam perancangan untuk mengadakan konsert solo.

"InsyaAllah, saya akan mengadakan konsert solo. Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi. Kalau boleh memang nak umumkan secepat mungkin," katanya.

Selain itu, lagu Masing Masing turut tercalon dalam Top 20 bagi kategori Lagu Paling Boom Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 36).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI