fb fb fb fb fb

Tonjol sisi versatil, ALPHA perkenal "P. Ramlee & Saloma"

Selepas Mona Lisa (Bang Bang), ALPHA memperkenalkan single kedua, "P. Ramlee & Saloma"

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Selepas mencipta fenomena menerusi debut single Mona Lisa (Bang Bang), kumpulan ALPHA kembali dengan pertaruhan baharu berjudul P. Ramlee & Saloma.

Single kedua terbitan Rocketfuel Entertainment ini memperlihatkan perubahan drastik dalam gaya muzik mereka daripada elemen pop moden kepada balada emosional yang menyentuh hati. Lagu ini merupakan hasil kolaborasi tiga komposer berbakat, iaitu Justin Seow, Mohsein Kush dan RFE.

Dianggotai oleh tujuh ahli iaitu Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, ALPHA terus menonjolkan keunikan dengan identiti muzik yang tersendiri. P. Ramlee & Saloma bukan sekadar lanjutan kepada pengenalan mereka dalam industri muzik, malah menjadi simbol keberanian mereka mencabar norma serta mengetengahkan sisi versatil kumpulan.

Sebelum ini, ALPHA tampil dengan Mona Lisa (Bang Bang) yang menampilkan suntikan elemen K-pop yang segar, enerjik dan penuh ‘attitude’. Muzik video lagu berkenaan telah meraih lebih 250,000 tontonan sejak dilancarkan pada 6 Julai lalu.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee berkata, pelancaran ALPHA adalah sebahagian daripada usaha berterusan mereka untuk meneroka dan mengangkat potensi bakat serantau ke peringkat lebih tinggi.

“Kami percaya bakat Asia Tenggara wajar diketengahkan dengan identiti tersendiri. ALPHA adalah contoh jelas bagaimana bakat serantau mampu menembusi pasaran global dengan bimbingan dan platform yang betul,” ujarnya.

Single P. Ramlee & Saloma kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Muzik video rasmi lagu ini dijangka dilancarkan tidak lama lagi di saluran YouTube @RocketFuelNetwork.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE