fb fb fb fb fb

TMJ bantu lima pasukan Liga M berdepan isu tunggakan gaji

(Tunku Mahkota Johor turut berkenan menyerahkan replika cek dengan nilainya tertulis 'kos penukaran permukaan padang'
Stadium Nasional Bukit Jalil bagi mengotakan janji baginda menaja
 perbelanjaan pertukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia di stadium berkenaan) 

BUKIT JALIL, 19 Mac- Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mendedahkan beliau pernah membantu sekurang-kurangnya lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berdepan isu tunggakan gaji.

Beliau yang juga Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berkata iantara pasukan itu membabitkan Selangor FC Penang FC, Kelantan FC, Melaka United dan terbaharu Perak FC.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata ramai yang tidak mengetahui mengenai bantuan yang diberikan kepada pasukan terbabit kerana beliau tidak menghebohkannya kepada media.

"Baru-baru ini saya ada bantu Perak FC. Tiga hari lepas pengurusan Perak FC ada datang berjumpa saya dan saya ada bagi sedikit sumbangan dan bantuan. Saya tak boleh cakap berapa jumlahnya.

"Saya ada bagi sedikit bantuan untuk kurangkan beban Perak FC, saya harap masalah tersebut boleh mereka selesaikan dalam masa terdekat.

"Dalam karier saya terbabit dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong.

(Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada sidang media
selepas berkenan meninjau keadaan rumput
padang Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini)

"Saya pernah tolong Selangor dua kali, saya pernah tolong Kelantan dua kali dan saya juga pernah tolong kalau tak silap saya Penang sekali serta Melaka.

"Isu gaji, PFAM pun saya pernah tolong. Banyak yang orang tak tahu, sekarang semua orang tahu. Kalau tak percaya boleh tanya tuan punya badan," katanya pada sidang media selepas melawat padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) itu juga pernah membantu beberapa pemain yang menghadapi tunggakan gaji bersama pasukan mereka sebelum ini.

Media Baharu