fb fb fb fb fb

Pertukaran rumput Stadium Nasional Bukit Jalil , dianggarkan menelan kos RM1.4 juta

BUKIT JALIL, 19 Mac- Kerja-kerja pertukaran rumput padang Stadium Nasional di Bukit Jalil yang dianggarkan menelan belanja antara RM1.2 hingga RM1.4 juta hanya akan bermula selewat-lewatnya Januari tahun depan.

Kelewatan masa kira-kira empat bulan itu disebabkan komitmen yang telah dipersetujui pihak stadium untuk menganjurkan beberapa acara di venue rasmi skuad Harimau Malaya itu sepanjang tahun ini.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melakukan tinjauan di gelanggang itu berkata, pertukaran rumput stadium berkenaan dilihat sebagai pelaburan jangka panjang.

"Kalau kita tengok negara jiran kita semua dah tukar ke rumput yang lebih berkualiti sebab rumput ini sebagai 'long term investment' untuk stadium punya reputasi, lagi-lagi Stadium Nasional kita so kita 'urgently' akan tukar tapi saya difahamkan oleh kerana SNBJ pun ada komitmen untuk beberapa event sepanjang tahun ini bermakna kerja akan bermula lebih lewat lagi, Insyallah ' by Januari', " kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail meluangkan masa setengah jam meninjau padang SNBJ dengan diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.


(TMJ bersama Ahmad Faizal berkenan meninjau keadaan rumput padang SNBJ sempena lawatan dan sumbangan membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil)

Pada sesi tinjauan tersebut, Tunku Mahkota Johor itu turut berkenan menyerahkan replika cek bagi kos penukaran padang Stadium Nasional Bukit Jalil kepada rumput baharu jenis Zeon Zoysia.

Sebelum ini, Tunku Ismail mengesahkan bahawa beliau akan menaja kos penanaman rumput baharu di SNBJ.

Beliau menjelaskan rumput jenis Zeon Zoysia itu sebagai hadiah kepada gelanggang rasmi pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.

Perkembangan itu dimaklumkan TMJ dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers dengan jenis rumput berkenaan sama dengan yang digunakan di stadium milik Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan penghargaan di atas kurniaan dana pertukaran padang daripada Tunku Ismail.

"
Kami anggap sebagai kurniaan yang amat signifikan kepada pembangunan bolasepak di negara kita. Tentunya saya bersama dengan pihak PSM akan bekerjasama dengan team Tuanku Johor untuk memastikan padang kita dalam keadaan terbaik.. banyak perkara kita mempelajari.. terutamanya dari segi penjagaan dan kami akan bertukar-tukar nota untuk memastikan akhirnya stadium ini padangnya boleh dibanggakan hingga banyak pasukan antarabangsa sudi bermain," katanya.

Tambah beliau, kerja-kerja penukaran padang itu perlu melalui beberapa proses dengan Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan, namun berpendapat proses itu dapat dilaksanakan segera.

Media Baharu