KUALA LUMPUR, 8 April - Bagi mengelak pengalaman terlepas peluang beraksi dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) tahun lalu disebabkan pemain dijangkiti COVID-19, prosedur operasi standard (SOP) ketat akan dilaksanakan dalam kalangan pemain skuad hoki negara menjelang siri perlawanan persahabatan di Australia minggu hadapan.
Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan A.Arul Selvaraj berkata selain menjalankan ujian RTK dan saliva Skuad The Speedy Tigers turut melaksanakan langkah tambahan dengan memastikan pergerakan antara pemain dihadkan apabila mereka tiba di Australia nanti.
"Ianya akan dilaksanakan, sebagai contoh dalam satu bilik menginap hanya dibenarkan dua sahaja atlet untuk berada di dalamnya kerana jika seorang didapati positif maka seorang lagi akan dikuarantin dan saya tidak mahu ramai pemain menerima nasib sama," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Arul berkata pihaknya turut merancang untuk memisahkan penjaga gol sedia ada untuk tidak berada dalam satu bilik yang sama sebagai langkah tambahan mencegah wabak terbabit.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan semua pemain supaya lebih peka dan tidak mengambil sikap sambil lewa berhubung perkara berkenaan.
"Mereka perlu berdisplin biarpun sudah lengkap dos vaksin namun perlu diingat mereka membawa harapan negara dan tanggungjawab untuk lebih bersifat mementingkan (keselamatan) diri supaya wabak ini tidak akan merencatkan usaha bersaing dalam perlawanan di masa akan datang," katanya.
Skuad hoki negara sebelum ini tidak dapat menyertai ACT yang dijadualkan dari 14 hingga 22 Dis tahun lalu di Dhaka, Bangladesh selepas pemain Faizal Saari diuji positif COVID-19, yang menyebabkan pasukan itu terpaksa menarik diri daripada kejohanan berkenaan - BERNAMA