fb fb fb fb fb

Tiada kelibat skuad hoki negara ke Komanwel

(Foto Konfederasi Hoki Malaysia)

KUALA LUMPUR, 4 Mac - Tiada kelibat pasukan hoki lelaki kebangsaan di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom.

Ini selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan untuk tidak mengambil bahagian pada temasya itu Julai depan.

Keputusan untuk tidak menghantar skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu dibuat bagi memberi fokus kepada misi lebih besar di Sukan Asia di Hangzhou, China pada September.

Ia menawarkan slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif badan induk itu minggu lepas dengan mengambil kira pandangan Ketua Jurulatih dan Pengarah Teknikal (Pembangunan) KHM Paul Revington.

(Fokus kepada misi lebih besar di Sukan Asia di Hangzhou, China pada September/Foto Konfederasi Hoki Malaysia)


Pada masa sama, beliau menafikan keputusan untuk tidak menghantar pasukan negara ke Birmingham adalah disebabkan kekangan kewangan.

Sukan Komanwel dijadual bermula 28 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Asia berlangsung dari 10 hingga 25 September.

Jelas Datuk Ahmad Najmi lagi, walaupun ada cadangan untuk menghantar skuad remaja, ia berisiko menjejaskan kedudukan ranking pasukan negara.

Berdasarkan ranking semasa Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia berada di kedudukan ke-11 dunia.

Media Baharu