BUKIT KIARA, 4 Mac- Selepas menjadi penaja kepada sukan berteknologi tinggi seperti Formula One dan Moto GP, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan anak syarikatnya Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah menandatangan perjanjian penajaan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tempoh tiga tahun.
Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria berkata perjanjian penajaan terbesar itu membentuk perkongsian yang dijangka mampu meningkatkan lagi prestasi badminton Malaysia.
Sokongan Petronas itu bakal meliputi latihan dan persediaan pemain negara, terutamanya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, serta menyumbang kepada keseluruhan program pembangunan BAM.
"Sejak penubuhan BAM, ini adalah paling besar membabitkan penajaan. Penajaan ini beri peluang kepada kita untuk terus kekal fokus kepada sasaran iaitu Olimpik Paris 2024. Dengan kehadiran Petronas ini kita akan mampu fokus dengan perniagaan teras kami iaitu untuk menghasilkan, mengembangkan dan membangunkan pemain bertaraf dunia.
"Saya harap penajaan ini dapat memberi motivasi kepada semua terutama pemain untuk terus memberikan terbaik kepada negara," katanya, dalam sidang media pada majlis menandatangani perjanjian rakan kongsi antara BAM dan Petronas, hari ini.
(Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria)
Petronas memeterai perjanjian ini sebagai rakan kongsi bahan api rasmi BAM.
Penajaannya termasuk bekalan bahan api dan pelincir bersama produk mesra lain seperti air mineral dan pembersih tangan.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Jenama Petronas, Khairul Hisham Maslan berkata syarikat terbabit tidak akan beri tajaan sewenangnya apabila menetap beberapa kriteria sebelum memberikan peruntukan kepada sukan terbabit.
Antara kriteria yang ditetapkan adalah melihat kepada komitmen yang dipamerkan oleh badan induk sukan berkenaan dalam usaha untuk membangunkan pemain akar umbi selain penajaan terbabit turut memberi pulangan kepada syarikat berkenaan.
"Jika menepati kriteria yang ditetapkan dan memberi pulangan kepada syarikat sudah tentu permintaan mereka akan dipertimbangkan," kata Khairul.
(Pengurus Besar Bahagian Jenama Petronas, Khairul Hisham Maslan)