("The Cloth Concert" bakal menggabungkan persembahan penyanyi
tempatan dengan pertunjukan fesyen berasaskan tekstil tradisional)
KUALA LUMPUR, 14 September- Persatuan Veteran RTM (PVRTM) sasar pengumpulan dana RM100,000 untuk disalurkan kepada pesara Radio Televisyen Malaysia, RTM menerusi acara "The Cloth Concert"., menurut Presiden PVRTM, Zohara Gany Mohamad Bathusha.
Konsert bakal menggabungkan persembahan penyanyi tempatan dengan pertunjukan fesyen berasaskan tekstil tradisional.
"Ramai yang bukan pesara berpencen, mereka dulu bekerja di RTM selama 30 tahun, tapi mereka bukan pesara. Mereka tidak dapat pencen kerana ada kakitangan sambilan, kakitangan kontrak.
"Jadi sekarang bila mereka sudah tua, sudah tidak pencen. Jadi itulah masalah yang kita hadapi sekarang dan kita kena menyokong mereka tubuh tabung kebajikan," kata Zohara dalam sidang media kepada RTM di sini.
(Zohara ketika ditemui dalam sidang media berkata 'The Cloth Concert' PVRTM sasar
kumpul dana RM100,000 untuk pesara)
Bakal berlangsung pada 22 Oktober ini di IOI Putrajaya, konsert menampilkan barisan penghibur terkenal tanah air antaranya Anuar Zain, Azlina Aziz dan Ning Baizura.
Juga pereka fesyen Zang Toi, Datuk Tom Abang Saufi dan Rizman Ruzaini.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman yang merupakan Penaung Diraja PVRTM dijangka hadir.