KUALA LUMPUR, 25 Mac - Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyajikan telefilem khas yang mengangkat tiga tema iaitu bulan Ramadan, wanita dan tahun melawat negeri Perak menerusi “Perang Panjut 7 Likur”.
Drama yang membarisi bintang handalan antaranya Datuk Fauziah Nawi, Fadilah Mansor, Hamidah Wahab dan Dalimawati itu bakal ditayangkan pada 6 April depan menerusi slot Panggung RTM, pukul 9 malam di saluran TV1.
Menurut penerbit drama, Mohamad Erfan Zainaldin, selain mengetengahkan tema yang dekat dengan hati penonton, ia juga sarat dengan mesej yang positif khususnya kepada masyarakat.
"Dalam cerita ini kita boleh nampak wanita-wanita mendominasi karakter dalam cerita ini, tak semestinya bulan Ramadan lelaki sahaja yang lebih dominan jadi dalam cerita ini kita boleh nampak wanita lebih banyak peranannya dalam bulan Ramadan..jadi dari situ kita garap idea jadikan sebuah karya yang menghiburkan di samping menyampaikan mesej-mesej yang perlu diberi kepada masyarakat," katanya selepas ditemui dalam sesi tayangan khas drama 'Perang Panjut Tujuh Likur' di Angkasapuri hari ini.
Dalam pada itu pelakon veteran, Hamidah Wahab, meluahkan rasa bersyukur diberi peluang setelah hampir 10 tahun tidak aktif dalam dunia lakonan.
"Alhamdulillah saya bersyukur diberi peluang oleh RTM untuk terlibat dalam drama ini. Sudah lama saya teringin sangat nak kembali dalam dunia lakonan...rindu sangat..jadi bila dipanggil untuk menjayakan drama ini saya jadi teruja dan mungkin ini platform untuk saya kembali aktif sebagai anak seni," katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah, Nasaruddin Abdul Muttalib, Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV, Nasrul Hakim Md Noh dan Penolong Pengarah unit drama TV, Sarena Mohd Salleh.
Memilih Kuala Kangsar sebagai lokasi penggambaran, ia mengisahkan tentang tiga wanita veteran Hanan, Numa dan Sabariah yang dahulunya bersahabat baik namun atas satu kejadian mereka berseteru sehingga masing-masing berkahwin dan mempunyai anak.
Peristiwa “Perang Panjut Tujuh Likur” telah merapatkan kembali persahabatan yang renggang dan menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna.
Drama berdurasi satu jam 30 minit itu turut dibantu pelakon Raf Roslee, Dina Allysha, Idan Aedan, Fathil Dani, Jeri dan Sayyid Bakir.