KUALA LUMPUR, 25 Mac- Unit Drama RTM bakal tampil dengan satu lagi penghasilan Drama Pendek Khas bertajuk 'Hari Itu Dalam Sejarah', sempena Sambutan Hari RTM pada 1 April ini.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, drama tersebut diyakini mampu memenuhi tuntutan semua peringkat tontonan dengan mesej padat.
"Ini ialah satu hasil apabila kita letak jiwa kita. Apabila kita memberi atau dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai 'passion'. Jadi, hasilnya adalah satu yang amat membanggakan. Saya rasa penonton mesti tidak sabar untuk tonton drama ini, tajuknya ialah 'Hari Itu Dalam Sejarah'."
"Saya rasa ini satu garapan yang sangat hebat, hasil kerjasama pasukan yang hebat," kata Suhaimi kepada pemberita selepas Majlis Pratonton 'Hari Itu Dalam Sejarah' di Wisma Radio, Angkasapuri.
Drama yang berlatarkan tahun 80-an itu, dibintangi oleh Khir Rahman, Raja Azrey, Nadia Aqilah dan Kumpulan Takal mengisahkan seorang guru yang pertama memiliki televisyen warna dan telah menjadi kebanggaan penduduk kampung.