KUALA LUMPUR, 2 Jun - Bersempena sambutan Hari Bapa pada 19 Jun depan, Unit drama TV RTM membawakan sebuah telefilem yang mengangkat tema pengorbanan, kasih sayang dan kekeluargaan bertajuk "Kayuh".
Memaparkan pengorbanan seorang bapa tunggal mencari rezeki sebagai penarik beca lakonan Aman Graseka, drama tersebut bakal menemui penonton setia TV1 menerusi slot Panggung RTM pada 18 Jun ini.
Menurut Pengarah muda, Irfan Zainaldin, biarpun tertangguh hampir dua tahun dan berdepan wabak COVID-19 semasa sesi penggambaran dilakukan, sedikit pun tidak mematahkan semangat beliau untuk menyiapkan karya sulungnya itu.
"Kita jalankan penggambaran sewaktu virus Omicron tengah menular tahun lepas, ada krew kami yang terpaksa pulang di waktu akhir disebabkan jangkitan virus COVID-19, tapi alhamdulillah artis kami semua negatif jadi kami boleh sambung penggambaran seperti biasa dan alhamdulillah juga saya dapat menyiapkan naskah tersebut"
"Saya juga berharap agar penonton yang akan melihat serta merasai sendiri naskah ini bagaimana pengorbanan seorang ayah agar kita lebih menghargai mereka," katanya.
Selain Aman Graseka, telefilem tersebut turut dibarisi pelakon terkemuka tanahair antaranya Adam Shahz, Noorkhiriah, Ameerul Affendy, Azzahra, Hanis Kamal dan ramai lagi.
'Kayuh' berkisarkan mengenai Pak Rahman seorang penarik beca yang bersifat patriotik dan pemurah berkorban membesarkan kedua orang anak lelakinya selepas kematian isterinya.
Biarpun sikap Pak Rahman disenangi ramai, namun ada yang mencemburuinya hingga sanggup melakukan khianat kepadanya.
Apa yang terjadi kepada Pak Rahmat? Jangan lupa tonton telefilem 'Kayuh' pada 18 Jun ini di saluran TV1.