fb fb fb fb fb

Johnny Depp menang kes saman malu terhadap bekas isteri

FAIRFAX, 2 Jun – Selepas menempuhi perbicaraan selama enam minggu, pelakon Hollywood, Johnny Depp, akhirnya membuktikan dirinya tidak bersalah apabila menang kes saman fitnah terhadap bekas isteri, Amber Heard, hari ini.

Depp memfailkan saman fitnah terhadap Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post, dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM218 juta).

Heard yang juga pelakon filem Aquaman, membalas dengan memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM437.8 juta) dan mendakwa dirinya mengalami ‘penderaan serta keganasan fizikal’ daripada Depp.

Depp menafikan beliau pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard, sebaliknya mendakwa wanita itu yang sering bertindak ganas.

Juri yang bersidang Mahkamah Circuit di Fairfax Country di sini, hari ini memutuskan pelakon Pirates of the Caribbean itu dibayar ganti rugi AS$15 juta (RM65.7 juta).

AS$10 juta (RM43.8 juta) dalam bentuk ganti rugi pampasan dan AS$5 juta (RM21.9 juta) dalam bentuk ganti rugi punitif.

Sementara itu, Melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram, Depp meraikan kejayaan memenangi kes saman malu itu.

"Enam tahun lalu, hidup saya dan anak-anak termasuk mereka yang rapat dengan saya, juga mereka yang selama ini menyokong dan mempercayai saya, berubah sama sekali.

"Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Tuduhan jenayah yang palsu dan serius dikenakan terhadap saya melalui media. Ini mencetuskan kebencian ramai yang berterusan biarpun tiada dakwaan dibuat ke atas saya.

"Perkara ini memberi impak terhadap kehidupan dan karier saya. Enam tahun kemudian, juri beri kehidupan saya semula... Saya sangat rendah diri," katanya yang tersentuh dengan sokongan dan kasih sayang peminat sepanjang perbicaraan berlangsung.

Melalui kenyataan penuh emosi itu, Depp berharap usaha yang dilakukan bagi memulihkan maruahnya membantu insan lain yang mungkin berdepan situasi sama.

Depp turut berterima kasih kepada hakim, juri, kakitangan mahkamah dan semua pihak lain termasuk kumpulan peguam yang melakukan tugas terbaik membantunya menegakkan kebenaran.- AFP


(Pasukan perundangan Johnny Depp berpelukan selepas juri memutuskan bahawa mereka percaya Amber Heard memfitnah bekas suaminya Johnny Depp)
FOTO AFP

Media Baharu