KUALA LUMPUR, 1 Jun - Khabar gembira buat peminat Dewa 19 dimana mereka bakal mengadakan Konsert Ulang Tahun Ke-30 Dewa 19 di Kuala Lumpur, September depan.
Konsert jelajah yang bermula di Surabaya, Jumaat lalu itu bakal diadakan di 30 bandar termasuk Kuala Lumpur dan Singapura.
Menurut Ahmad Dhani, mereka akan membawakan 30 lagu bersama barisan vokalis Dewa 19 seperti Ari Lasso, Once dan Ello untuk setiap konsert.
Berkongsi perancangan ke arah konsert mega di Malaysia bersempena hari bersejarah Dewa 19, katanya penganjuran konsert tersebut adalah simbolik persaudaraan mereka sejak 35 tahun lalu.
"Kami juga akan membawakan lagu-lagu yang jarang sekali dimainkan sebelum ini...dari album pertama hingga album terakhir yang kesemuanya diketahui peminat Dewa 19, (Baladewa)," katanya.
(Ahmad Dhani semasa sidang media di sini)
Kali terakhir Dewa 19 mengadakan konsert di Malaysia pada 2 Februari 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam.
Namun ia berlangsung tanpa Ahmad Dhani yang ketika itu dipenjara dan digantikan anaknya, Abdul Qodir Jaelani.
Vokalis dan juga pemain keyboard Dewa 19 itu tiba di Kuala Lumpur minggu lalu ditemani isterinya, Mulan Jameela telah mengadakan persembahan di festival islamik, Garden of Eid menerusi Konsert Mini Figura Seni Tersohor Indonesia, Ahmad Dhani, bertempat di Taman Botani Perdana, malam Isnin lalu.