fb fb fb fb fb

Teater 'Kenapa Kau Bayang Waktu' angkat isu kesihatan mental pasca pandemik

Nasir lakonan Khairunazwan Rodzy menyentuh hati penonton apabila terpaksa mengharungi kritikan dan gurauan ahli keluarga berikutan diagnosis kemurungan yang dialaminya selepas kematian isterinya/FOTO UM

KUALA LUMPUR, 4 Disember - Kira-kira 200 orang penonton terpukau dengan pementasan teater “Kenapa Kau Bayang Waktu” di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini yang mengangkat isu kesihatan mental selepas COVID-19 dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Teater “Kenapa Kau Bayang Waktu” diarahkan oleh Harith Amirrul, merupakan sebuah produksi Kolektif Laraseni, dan menampilkan tiga pelakon muda yang mula mendapat tempat dalam industri pementasan teater iaitu Megat Adli, Hana Nadira, dan Khairunazwan Rodzy.

Tiga watak utamanya, menyoroti kisah-kisah masyarakat sebelum, semasa, dan selepas pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak 2020.

Naskah asli karya Harith merungkai kehidupan Ali (Megat Adli), Mardiah (Hana Nadira), dan Nasir (Khairunazwan Rodzy) ketika mereka bergelut dengan cabaran dan rintangan hidup semasa pandemik yang memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental masing-masing.

Ali, seorang pelajar universiti yang cemerlang sebelum pandemik, dilihat tidak mampu menyesuaikan diri dengan
kaedah pembelajaran di atas talian.

Mardiah, seorang isteri dan wanita berkerjaya pula dibuang kerja semasa pandemik kerana ketidakmampuan syarikat. Tekanan ke atas dirinya diperburukkan lagi dengan masalah rumah tangganya yang diambang kehancuran.

Nasir pula adalah pengusaha gerai makan separuh usia yang baharu sahaja kehilangan isteri tercinta. Perniagaannya yang merosot semasa pandemik telah menambahkan lagi tekanan kepadanya yang masih belum mampu menerima realiti hidup tanpa isterinya di sisi.

Menurut Harith Amirrul, teater ini merupakan yang paling mencabar dalam kerjayanya sebagai penulis dan pengarah teater.

“Saya telah menulis dan mengarah beberapa karya teater, tetapi karya ini adalah yang paling mencabar untuk dihasilkan. Karya ini sangat dekat di hati saya, dan saya berusaha sedaya mungkin bagi mencerminkan perjuangan yang dihadapi oleh ramai orang semasa pandemik COVID-19.

"Ada di antara baris skrip yang digunakan telah diolah berkali-kali demi menggambarkan perasaan mereka yang benar-benar terkesan dengan wabak ini sehingga ke hari
ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kaunseling dan Pemerkasaan OKU UM, Lizawati Abd. Sane berkata, salah satu momen yang cukup bermakna di dalam persembahan itu adalah apabila penonton dijemput untuk mengangkat bendera putih yang disediakan di kerusi masing-masing sambil menyeru “Kita Jaga Kita”.

Katanya, persembahan itu adalah simbolik kepada gerakan bagi membantu mereka yang terkesan, sama ada secara fizikal atau mental semasa dalam tempoh pandemik.

“Saya tertarik dengan adegan di mana ketiga-tiga watak utama yang dilihat menghubungi Talian Kasih bagi mendapatkan bantuan setelah menyedari yang diri mereka menghampiri ‘bayang gelap’ dalam kehidupan masing-masing.

"Ini adalah kaedah secara langsung yang amat jelas dalam mendidik masyarakat untuk mendapatkan bantuan kaunseling, apabila menyedari tanda-tanda tekanan yang dihadapi.

"Ini sangat membantu dalam usaha kami menghentikan stigma terhadap kesihatan mental,” katanya.

Pada Mei lalu, media melaporkan kira-kira 100,000 individu di negara ini menghadapi masalah berkaitan mental pasca pandemik COVID-19 akibat pelbagai faktor tekanan hidup.

Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa), Anita Abu Bakar mendedahkan mereka mengalami kemurungan, depresi, kecelaruan bipolar dan skizofrenia.

GRACE AISYAH KEDAYAN