KUALA LUMPUR, 4 Disember- Kumpulan rock legenda, Wings bakal mengadakan Konsert Wings The Rock Emperor- Kuala Lumpur Chapter pada 16 Disember ini.
Menurut vokalisnya, Datuk Awie, mereka juga akan mendendangkan sebuah lagu khas untuk rakyat Palestin pada konsert tersebut.
Jelasnya, konsert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam akan menampilkan lebih 15 buah lagu termasuk lagu-lagu yang belum pernah dipersembahkan dalam mana-mana konsert mereka sebelum ini.
"Jadi kita minta semua doakan kesihatan kami dan Insha-Allah kami akan membuat persembahan secara bersungguh-sungguh. Kami juga teruja dengan pemilihan lagu yang tidak pernah kami nyanyikan. Kami memilih tema 'The Rock Emporer', bertepatan 40 tahun kami bertapak dalam industri muzik tempatan," kata Awie.
Konsert berkenaan menyasarkan lebih 7,000 penonton.
Setakat ini, 80 peratus tiket telah terjual.