KUALA LUMPUR, 7 Disember- Penyanyi, Nourul Wahab Depp, optimis menganjurkan program seminar motivasi, 'Firetalk & Showcase' bagi memperkasa kekuatan mental golongan wanita.
Selepas berdepan dengan krisis bersama anak sulungnya, Ayu Nazirah, beliau menerima banyak maklum balas memintanya berkongsi tips mengendali konflik ibu-anak.
Bagaimanapun, Nourul enggan mengulas isu tersebut kerana bimbang berlarutan.
"Semua ibu akan melalui benda ini saya tak suka untuk ulas perkara ini kerana tidak beri kebaikan kepada saya dan sesiapa sahaja akan jadi salah faham. Kita hidup dalam masyarakat yang suka menilai, menghukum. jadi biar saya simpan. Sebagai wanita dan isteri, saya ada suami yang sangat menyokong saya dan ada caranya untuk jadi lebih fokus kepada benda sepatutnya," katanya.
Jelasnya, dia kini fokus menjalani kehidupan seharian bersama suami dan anak-anak di Bali, Indonesia.
'Firetalk and Showcase Nourul Depp' mendapat sambutan apabila hampir 200 peserta menyertai program tersebut.
Nourul merancang untuk menganjurkan buat kali kedua pada Jun tahun depan
Terdahulu, Nourul yang terkenal dengan lagu Kerana Terluka mengakui ada konflik dan berkecil hati dengan puteri sulungnya.
Kata penyanyi berkulit hitam manis itu, dia berharap masalah dalaman keluarganya dapat diselesaikan dengan baik tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Bekas suaminya, Ajai sebelum ini memberitahu hubungan Nourul dan Ayu sudah kembali pulih.
Bagaimanapun, Ajai mengambil pendekatan enggan mengulas dakwaan puteri sulungnya tinggal bersama pelakon Maria Farida sehingga menjadi punca perbalahan antara Nourul dan anak daranya itu.