fb fb fb fb fb

Tarikh dan lokasi pementasan Teater Muzikal ‘Moyang Salleh’ diubah

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Pementasan Teater Muzikal ‘Moyang Salleh’ yang sepatutnya dijadual berlangsung pada 26 hingga 31 Ogos di Istana Budaya di sini, diubah tarikh dan lokasi pementasannya.

Penerbitnya Siti Salbiah Zahari berkata sebaliknya ia akan dipentaskan pada 23 hingga 25 Sept di Auditorium Raja Melewar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan (JKKN NS).

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Karyawan Negeri Sembilan berkata pementasan di Istana Budaya itu tidak dapat dilaksanakan berikutan penajaan pihak produksi yang tidak mencukupi bagi menampung kos produksi.

(FOTO BERNAMA)

"Kepada yang telah membeli tiket dan ingin membatalkan pembelian, boleh menghubungi 011-13297822 (Ilassoticket.com) dan 018-2755981 (Urus setia) untuk keterangan lanjut. Mereka yang ingin terus menonton, boleh dibawa ke hadapan untuk tarikh baharu persembahan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memohon maaf atas kesulitan serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua peminat Teater Muzikal Moyang Salleh yang menantikan persembahan berkenaan serta semua yang menyokong industri seni dan budaya tanah air.

Teater ‘Moyang Salleh’ memaparkan perjuangan pahlawan Negeri Sembilan dalam memperjuangkan kedaulatan Jelebu satu ketika dahulu yang dihasilkan oleh Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu. - BERNAMA

Media Baharu