fb fb fb fb fb

Sulur Nakasari 2.0 'pukau' peminat seni warisan dan budaya tanah air

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Pementasan Sulur Nakasari 2.0 berjaya memukau seramai 1314 jumlah penonton dengan sebuah persembahan etnik kreatif tanah air, kata Ketua Pengarah Istana Budaya Zubaidah Mukhtar.

Zubaidah berkata meskipun pementasan selama dua malam itu berdepan cabaran dari segi sambutan dalam masyarakat namun pihaknya komited memartabatkan seni budaya dan warisan bangsa agar tidak ditelan zaman.

"Sulur Nakasari merupakan satu platform seni tradisional tari dan muzik dengan mengetengahkan hasil kreativiti dan idea daripada barisan koreografer dan komposer Istana Budaya yang dijayakan oleh penari Artistana dan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM)," katanya menerusi kenyataan hari ini.

(Ketua Pengarah Istana Budaya,Zubaidah Mukhtar menyerahkan bunga penghargaan kepada Konduktor, Pengarah Muzik OTM Mohd Yazid Zakaria/FOTO Istana Budaya)

Pementasan Sulur Nakasari 2.0 terbahagi kepada tiga segmen iaitu Kreasi Tradisional, Kreatif Tradisional dan Kreatif Kontemporari termasuk mempamerkan 12 jenis tarian seperti Asli, Inang, Joget, Zapin Siltah, Jeraus dan Bakarano.

Hasil sentuhan kreatif dan persembahan yang hebat diketuai oleh A. Aris A. Kadir sebagai Pengarah Persembahan dan Badrul Zaman Abdul Jalil sebagai Sinografer.

Manakala, keunikan seni tari dan muzik diketuai oleh Mohd Yazid Zakaria yang berperanan sebagai konduktor atau Pengarah Muzik OTM dan Rudy De Luna Jr. sebagai pengarah tari.

Sulur Nakasari 2.0 dimeriahkan lagi dengan kehadiran artis tempatan seperti Bob Yusof dan Hazra Dollah yang menyampaikan tiga (3) buah lagu eksklusif gubahan baharu oleh OTM menerusi lagu Joget Dendang Berkasih, Zapin Tingkah Siltah dan Inang Rajuk Bersenda.

(Muhammad Syazwan Hairi memenangi hadiah cabutan bertuah/FOTO Istana Budaya)

Panggung Sari turut digamatkan dengan kejutan cabutan bertuah apabila Muhammad Syazwan Hairi, 25, dari Ipoh, Perak membawa pulang sebuah motorsikal F-15 jenama WMOTO bernilai RM7,500.00 tajaan Ah Hong Motor.

Sulur Nakasari 2.0 dipentaskan selama dua malam pada 28 dan 29 Julai lalu di Panggung Sari, Istana Budaya.


Media Baharu