(Tangkap layar kejadian tular/TikTok HipHopDX)
LOS ANGELES, 1 Ogos- Polis memulakan siasatan berhubung satu kes kekerasan fizikal selepas beberapa hari tular di media sosial yang menunjukkan rakaman penyanyi rap Amerika Syarikat, Cardi B melemparkan mikrofon ke arah penonton.
Penyanyi lagu berjudul 'WAP' itu bertindak balas selepas seorang penonton membaling minuman ke arahnya semasa konsert di Las Vegas, baru-baru ini.
Bagaimanapun, mikrofon berkenaan dikatakan tersasar dan mengenai penonton lain.
Semalam, Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas memberitahu, seorang wanita menghubungi polis bagi melaporkan satu kes 'serangan' terhadap dirinya.
“Mangsa memaklumkan telah menghadiri sebuah konsert di blok 3500 Las Vegas Boulevard pada 29 Julai lalu.
"Semasa konsert, dia mendakwa terkena objek yang dilemparkan dari pentas," katanya menerusi kenyataan.
Kenyataan polis tersebut tidak menyebut nama Cardi B secara terus, tetapi tarikh dan lokasi adalah sama dengan butiran insiden terbabit.
Jun lalu, kejadian sama berlaku melibatkan penyanyi tempatan, Bebe Rexha yang dilempar sebuah telefon oleh peminat lelaki semasa konsert di New York hingga mengakibatkan dia terlantar di hospital dan menerima beberapa jahitan di bahagian kening.
Bulan sama, penyanyi, Pink terkejut selepas sebuah beg kononnya mengandungi abu mayat milik ibu kepada peminat dibaling ke atas pentas di London, manakala tahun lalu, penyanyi, Harry Styles dilempar nugget ayam sehingga dia terpaksa menghentikan sementara konsert di New York. -AFP
(Tangkap layar kejadian tular/ TikTok HipHopDX)