(Ella)
KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Ratu Rock Negara, Ella bakal menemui peminat di negeri kelahirannya, Pulau Pinang pada 28 Oktober depan menerusi jejalah konsert, 'Jilid Akhir: Ella Puteri Kota' di Spice Arena, Bayan Lepas.
Pulau Pinang menjadi negeri ketiga dalam siri jelajahnya selepas Kuala Lumpur pada 10 Jun lepas dan Singapura pada 18 Ogos ini.
"Saya nak 'habaq'. Bahawasanya, saya merupakan anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang, dan sebagai menghargai permintaan semua peminat tersayang terutamanya di belah utara, jadi untuk kali ini, kami bakal datang dengan membawakan konsert yang dinanti-nantikan untuk kenangan bersama," katanya dalam kenyataan.
Masih mengekalkan tema ‘Rock Glam’, konsert dijangka berlangsung selama dua jam setengah itu akan disajikan dengan kira-kira 25 hingga 30 buah lagu berserta artis jemputan yang masih dirahsiakan.
“Saya kini sedang giat menjalankan sesi latihan muzik beberapa kali seminggu serta aktiviti rutin kecergasan demi membina stamina.
“Dari segi susunan muzik pula pastinya ada kelainan bersesuaian dengan konsep konsert nanti di bawah kelolaan pengarah muzik, Datuk Acis (Hashridz Murshim Hassim) yang dilatari sembilan pemuzik profesional dan 20 orang penyanyi koir.
“Semoga peminat saya semua akan terhibur dan bahagia menyaksikan konsert saya nanti, pastinya sebuah pengalaman indah dan menjadi kenangan manis yang bakal dirindukan.
“Peace.Love.Rindu," katanya.
Terdahulu, penjualan tiket 'Jilid Akhir: Ella Puteri Kota' di Kuala Lumpur dan Singapura melakar rekod menakjubkan apabila habis dijual dalam tempoh 24 jam.
“Kejayaan itu tercatat dalam 'Malaysia Book of Records', sekali gus membuktikan bahawa Ella sememangnya Ratu Rock Negara yang tiada tandingan," menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions dalam kenyataan bersama.
Peminat boleh dapatkan tiket bermula esok pada pukul 12.00 tengah hari menerusi laman sesawang www.hitmanlive.com.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Keeran D (Hitman Solutions) melalui talian 012-887 0669.
(Jilid Akhir: Ella Puteri Kota' di Pulau Pinang)