BUKIT JALIL, 9 April - Skuad wushu negara menerima tamparan hebat berbaki 30 hari sebelum Sukan Sea Hanoi 2022 bermula.
Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) dimaklumkan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Vietnam (SEAGOC), peraturan pertandingan 2015 terpaksa digunakan, kerana juri antarabangsa yang kebanyakan dari China berdepan larangan keluar negara dan tidak akan menjadi juri di Hanoi.
Jelas Presiden WFM Datuk Chong Kim Fatt, pihaknya baru sahaja menerima maklumat dari SEAGOC mengenai perkara itu.
Perkhabaran tersebut nyata mengejutkan atlet wushu negara yang berlatih menggunakan format Sukan Sea 2019 lebih dua tahun setengah.
"Pemain kita sebelum ini sudah diberi latihan dengan peraturan yang baru, 2019 (format Sukan Sea 2019). Dalam dua tiga hari ni kita akan cepat ikut peraturan yang tahun 2015 la. Itu satu yang saya bimbangkan. Yang lain kami sudah bersedia, hanya tengok keadaan di Vietnam la apa akan berlaku," kata Chong Kim Fatt.
Atlet wushu harus segera menukar corak latihan selepas bersedia sepenuhnya dengan peraturan 2019 yang dianggap peraturan yang bakal diperkenalkan di sukan Olimpik akan datang.
(Peraturan 2015 di Sukan Sea Hanoi 2022)
Dengan mengguna pakai peraturan 2015, atlet wushu negara diharap dapat meraih pingat di Hanoi tanpa menetapkan jumlah dan warna pingat.
Sementara itu, atlet baharu Wushu acara Taijiquan dan Taijijian Wanita, Mandy Cebelle Chen berkata, tidak berdepan dengan masalah dengan paraturan 2015 kerana menganggap sudah biasa dengan peraturan tersebut.
"Bagi saya ok sahaja. Kerana pasukan Wushu negara sebenarnya sudah berlatih dengan peraturan baru ni beberapa tahun lepas, jadi kami akan berusaha mengekalkannya dengan berlatih lebih keras, " Mandy.
Bagi memastikan kembali mahir dengan peraturan 2015, beliau dan rakan sepasukan akan mengadakan latihan selama enam hari seminggu bermula minggu ini.