fb fb fb fb fb

Liga Super: Penang, Negeri Sembilan FC kongsi mata

GEORGE TOWN, 10 April- Saingan Liga Super menyaksikan Penang FC seri 1-1 dengan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya malam tadi.

Ini adalah keputusan seri yang ketiga berturut-turut buat skuad Harimau Kumbang pada musim ini sekali gus menyaksikan mereka belum lagi merasai sebarang kemenangan setakat ini.

Skuad Jang mendahului pada minit ke-32 selepas Zaquan Adha Abdul Radzak menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan kepada pelawat susulan kekasaran Abdul Latiff Suhaimi ke atas Nasrullah Hanif Johan.

Manakala Penang pula menerima sepakan penalti selepas Omid Nazari menjatuhkan Endrick Dos Santos ketika sepakan sudut diambil.

Malangnya kali ini, penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi yang beraksi cemerlang menafikan tiga percubaan tepat Penang sebelum itu ditewaskan oleh Hilal El Helwe pada minit ke-36.

Bersambung babak kedua, beberapa peluang terhidang gagal dimanfaatkan Penang untuk mendapatkan gol kedua khususnya tandukan Casagrande tersasar di depan gol pada minit ke-51 disusuli penyudah kurang kemas dari T Saravanan tiga minit berselang.

Selepas ini, Penang akan melayan kunjungan jiran tetangga, Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi 'Derbi Utara' sementara NSFC akan berdepan PJ City FC di Paroi.


(Perlawanan Liga Super, Penang FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang/ FB MFL)

Menurut jurulatih Negeri Sembilan FC, K.Devan, beberapa aspek perlu diperbaiki oleh pasukannya untuk ke tahap yang memuaskan.

Selain itu, gandingan beberapa pemain baharu memerlukan masa untuk mendapat keserasian.

Bagi pengendali Penang FC, Tomas Trucha, keputusan seri 1-1 adalah sesuatu di luar jangkaan.

Trucha bagaimanapun berpuas hati dengan keputusan tersebut kerana corak permainan anak buahnya menunjukkan peningkatan prestasi.

Media Baharu