fb fb fb fb fb

Sukan SEA Hanoi : Zarif optimis rampas semula pingat emas sukan memanah

(Atlet memanah negara, Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli ketika ditemu bual media)

BUKIT JALIL, 9 April - Atlet memanah senior negara, Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli optimis untuk merampas semula pingat emas yang digagal dimenangi pada Sukan SEA Manila lalu.

Sebelum ini, beliau meraih satu perak dan satu gangsa, masing-masing dalam acara berpasukan lelaki dan berpasukan campuran.

"Memang saya dan pasukan sasarkan nak ambil (menang) balik pingat emas itu, orang cakap benda yang dah lepas kita biarkan saja, tapi jadikan ia sebagai satu pembakar semangat untuk kemunculan semula di Sukan SEA Vietnam," kata beliau dalam sidang media, di sini hari ini.

(Barisan atlet memanah negara menjalani latihan persiapan ke Sukan SEA Hanoi di Lapang Sasar Memanah MSN Bukit Jalil)

Pasukan memanah negara bakal menyertai dua kejohanan simulasi peringkat domestik yang dianjurkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).

Kedua-dua kejohanan itu berlangsung pada 13 hingga 15 April dan 20 hingga 22 April di Lapang Sasar Memanah Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Kejohanan tersebut merupakan persiapan skuad memanah recurve kebangsaan dalam misi menebus kekecewaan pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung 12 hingga 23 Mei ini.

Media Baharu