(Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif ketika ditemu bual Berita RTM)
SEPANG, 9 April - Grand Prix (GP) Malaysia Petronas 2022 bakal kembali menggegar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi musim 2022 selepas dibatalkan buat dua tahun berturut-turut bagi musim 2020 dan 2021.
Bagi saingan yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober depan, SIC menjanjikan kelainan dalam penganjuran kali ini bagi mengubati kerinduan peminat sukan permotoran dua roda itu.
Dalam proses beralih ke fasa endemik, kerajaan Malaysia telah mengumumkan beberapa kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk penganjuran kejohanan sukan antarabangsa dengan kapasiti penuh.
Sudah pastinya pengumuman itu meningkatkan lagi semangat pihak SIC untuk menganjurkan saingan MotoGP dengan lebih meriah apabila Malaysia diletakkan sebagai tuan rumah bagi venue pusingan kedua terakhir dalam kalendar Kejuaraan MotoGP musim 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif yang akan mengendalikan penganjuran GP Malaysia buat pertama kali sejak menjawat jawatan itu pada tahun 2020, menjanjikan kelainan yang luar biasa buat peminat.
"Sesiapa yang beli tiket tahun ini, tempat letak kereta adalah percuma, kita tak akan kenakan sebarang caj dan juga tiket sudah bertukar daripada segi fizikal ke e-tiket, itu adalah kelainan yang kita bawa nanti, tapi kita akan bincang dengan pihak Dorna Sports dan Petronas untuk membawa satu kelainan yang belum pernah dirasai untuk mereka yang pernah berkunjung ke SIC untuk perlumbaan MotoGP, kita akan membawa satu kelainan, akan memberi satu pengalaman yang amat berbeza dari sebelum ini, kita harap semua yang belum membeli tiket, diharapkan beli secepat mungkin," kata beliau ketika ditemu bual wartawan, Tina Rama, di sini.
(Foto fail)
Kali ini, aksi di SIC hasil rekaan Hermann Tilke ini tidak mempunyai wakil pelumba tempatan.
Namun Azhan menekankan pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan slot wild card bagi pelumba negara iaitu, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai 'Damok' dan Danial Syahmi dalam kategori Moto3.
"Kita akan cuba sedaya upaya untuk mendapat slot wildcard supaya rakyat Malaysia yang datang menonton MotoGP dapat melihat pelumba kita beraksi sekurang-kurangnya dalam kejuaraan Moto3, jadi dengan itu kita perlu memberikan mereka peluang untuk melakukan yang terbaik, Insya-Allah kita beri peluang kepada Damok atau Danial Syahmi, bergantung pada prestasi slot yang kita dapat di MotoGP," kata beliau.
Buat pertama kalinya sejak 2009, tiada wakil Malaysia di pentas MotoGP termasuk kategori Moto2 dan Moto3 dan ia disahkan melalui senarai lengkap pelumba musim 2022 oleh penganjurnya , Dorna Sport.
Litar Antarabangsa Sepang pernah melakar sejarah apabila dua kali dinobat penganjur terbaik MOTOGP pada musim 2012 dan 2017.