fb fb fb fb fb

Siti Zalina yakin pertahan emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022

(Atlet sukan boling padang negara, Siti Zalina Ahmad ketika ditemu bual Berita RTM)

BUKIT KIARA, 9 April - Juara bertahan kategori Pairs sukan boling padang, Siti Zalina Ahmad yakin mampu mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi lalu bersama Emma Firyana Saroji bagi saingan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Beliau berazam menggunakan peluang latihan dan kejohanan Siri Ujian Empat Negara di Birmingham sebagai medan membentuk gandingan ampuh bersama Emma.

Pemenang dua kali pingat emas Sukan Komanwel acara individu itu berkata, kejohanan disertai termasuk di England, Wales dan Australia bakal menjadi kayu pengukur bagi tahap persediaan mereka menghadapi Sukan Komanwel kali ini.


(Atlet sukan boling padang negara, Siti Zalina Ahmad menjalani latihan bersama barisan atlet lain)

"Sebab nanti yang akan menyertai siri percubaan adalah negara-negara yang kita jangka memberi tentangan dan negara-negara yang akan mendominasi podium nanti, jadi dekat situ nanti bukan saja kita boleh tengok di mana kita punya kelemahan, kelebihan, di situ nanti saya yakin pihak jurulatih juga dapat mengatur strategi, " kata beliau yang ditemu bual secara eksklusif oleh Berita RTM, di sini.

Siti Zalina, rakan sepasukan serta jurulatih bakal berangkat ke Birmingham pada tarikkh 20 April dan dijangka pulang ke Malaysia pada awal Jun depan.

Sukan Komanwel Birmingham bakal membuka tirai pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

Media Baharu