(Pengurus skuad terjun negara, Datuk Leong Mun Yee bercakap pada sidang media)
BUKIT JALIL, 5 April - Skuad terjun negara opitimis mempertahankan empat pingat emas yang diraih pada edisi Sukan SEA lalu dengan menyasarkan lapan pingat emas dalam semua acara yang dipertandingkan.
Menurut pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee sasaran lapan emas tersebut mempunyai cabaran kerana atlet ke Sukan SEA kali ini dibarisi ramai muka baharu.
"Sebab ada sesetengah atlet kali pertama ke Sukan SEA, memang cabaran untuk mereka lah, tapi semua persiapan bagus untuk saya sebagai pengurus pasukan, saya rasa sebab venue di sana baharu dan papan pun baharu, jadi kita kena uji papan itu lebih awal beberapa hari, sebab dalam terjunan, apa- apa boleh jadi, jatuh atau tergelincir ke, memang kena uji dulu," kata beliau dalam sidang media, di sini hari ini.
(Gambar fail)
Lapan acara dipertandingkan pada Sukan SEA Hanoi adalah 10 meter platform seirama lelaki dan wanita, 3 meter papan anjal seirama lelaki dan wanita, 3 meter papan anjal individu lelaki dan wanita serta 1 meter papan anjal individu lelaki dan wanita.
Tambahnya lagi, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong bakal bergandingan bersama Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10 meter platform wanita.
Ia bukan kali pertama mereka berdua digandingkan, apabila sebelum ini pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia FINA Ke-4 di Windsor, Kanada pada 2017.
Pasukan terjun negara akan mengikuti kem latihan selama enam hari di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh, Perak, bermula 19 hingga 24 April ini dalam persiapan ke temasya tersebut yang bermula 12 Mei depan.