(Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek bercakap pada sidang media)
BUKIT JALIL, 5 April - Pasukan badminton negara menyasarkan hanya satu pingat emas dalam acara lelaki berkumpulan Sukan SEA Hanoi, berbeza pada edisi sebelum ini apabila meraih tiga pingat emas.
Ia berikutan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini menyenaraikan skuad yang diwakili sepenuhnya barisan pemain muda.
Menurut Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek, sasaran itu realistik untuk pemain muda mengambil peluang yang diberi dan bukan sekadar untuk pendedahan, sebaliknya pemain perlu cuba untuk bersaing dalam memburu pingat di temasya dwitahunan berkenaan.
(Barisan pemain muda badminton negara yang akan menggalas cabaran di Sukan SEA Hanoi/BAM)
"Jadi disebabkan (Sukan SEA Hanoi) bertembung dengan Piala Thomas dan Uber, kita terpaksa buat keputusan menghantar pasukan muda, jadi pada saya apa yang saya harapkan ialah kalau dulu kita dapat tiga pingat emas dan kali ini kita harapkan dari pasukan lelaki, harap dapat satu pingat emas dan ini adalah sasaran yang kita telah tetapkan," kata beliau pada sidang media, di sini.
Selain acara berkumpulan, Malaysia juga menyertai saingan individu lelaki dan wanita pada Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung bermula 12 hingga 23 Mei ini.
Untuk rekod, skuad badminton negara melakar pencapaian terbaik dalam tempoh 44 tahun apabila membawa pulang tiga emas, dua perak dan lima gangsa pada Sukan SEA Manila.
Tiga emas itu disumbangkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, perseorangan wanita, S. Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.