SHAH ALAM, 6 April - Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dipersetujui antara Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) dan Persekutuan Besbol Pakistan baru-baru ini berhubung bantuan kepakaran dalam bidang kepegawaian dan jurulatih antara kedua negara.
MoU itu juga merangkumi langkah-langkah strategik antara dua negara dalam mengembangkan lagi sukan besbol secara domestik serta antarabangsa.
(Presiden BFM, Sazali Husain)
Presiden BFM, Sazali Husain menjelaskan MoU tersebut penting bagi meningkatkan mutu liga, pengadilan dan pemain di negara ini.
"Antara perkara penting tandatangan MoU antara Pakistan dan Malaysia adalah pertukaran teknikal dan pegawai. Ada persetujuan bersama pertukaran bahagian remaja lelaki dan juga wanita. Kita akan dapat dua, ini ditaja sepenuhnya oleh Pakistan, dua juru latih untuk datang ke sini melatih pasukan lelaki" katanya.
MoU berkenaan ditandantangani bersama Presiden Persekutuan Besbol Pakistan, Syed Fakhar Ali Shah.
Buat permulaan, seorang pegawai BFM, Nifizah Mohd Taib telah mendapat kursus dan pensijilan ketika di Pakistan.
Beliau telah diberi kepercayaan menjadi pengadil dalam tiga perlawanan bertaraf antarabangsa antara Malaysia dan Pakistan minggu lalu.