SINGAPURA, 27 Mac- Skuad Harimau Malaya mengalami kekalahan pertama di bawah kendalian jurulatih, Kim Pan Gon, selepas dijinakkan Singapura dengan jaringan 1-2, malam tadi.
Meskipun menguasai keseluruhan permainan namun skuad negara terpaksa akur dengan keampuhan benteng Singapura yang lebih banyak bertahan.
Malaysia bermula cemerlang menguasai perlawanan namun gagal menterjemah peluang diperoleh dengan jaringan gol.
Perkara itu dimanfaatkan Singapura dengan gol pertama hasil serangan balas yang disudahkan penyerang tinggi lampai, Ikhsan Fandi pada minit ke-30.
Gol penyamaan skuad negara seharusnya hadir awal babak kedua, namun sepakan penalti Safawi Rasid sekadar singgah di palang gol Singapura.
Mujur, pemain tengah, Liridon Krasniqi menutup kesilapan tersebut dengan gol penyamaan pada minit ke-57.
(Pemain tengah Harimau Malaya, Liridon Krasniqi menggelecek dua pemain Singapura/FAM)
Kelekaan benteng pertahanan negara selepas itu dihukum Ikhsan Fandi dengan gol kedua pada minit ke-76.
Usaha Malaysia melancarkan serangan serangan bertali arus mencari gol penyamaan terus gagal, sekali gus terpaksa akur tewas 1-2.
Dalam pada itu, ketua jurulatihnya, Kim Pan Gon tetap memuji barisan pemain yang disifatkan beliau telah memberikan segalanya untuk menang.
Jelas Pan Gon, skuad Harimau Malaya kendaliannya lebih berhak menang berdasarkan kualiti permainan dan kesungguhan ditampilkan mereka.
"Tiada aduan untuk pemain tetapi kami akan cuba mencari jalan keluar untuk masalah di sini. Pastinya kami boleh menjadi lebih baik. Saya sangat positif untuk prestasi pemain," kata Kim Pan Gon kepada pemberita RTM selepas perlawanan tersebut.
Terdahulu, skuad Harimau Malaya berjaya menumpaskan skuad Filipina 2-0 pada 23 Mac lalu pada aksi pertama Kejohanan Bola Sepak Siri Tiga Negara 2022.