fb fb fb fb fb

Siti Nurhaliza buat persembahan eksklusif, sasar RM1 juta dana amal

("Sasaran kutipan RM1 juta untuk dua malam (5 dan 6 November), semua untuk Yayasan Nurjiwa.
Tetapi kalau orang perseorangan atau syarikat yang nak buat sumbangan pun boleh tidak ada masalah,
kita terbuka," Siti Nurhaliza)


KUALA LUMPUR, 25 Julai- Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menunaikan janji kepada peminat dengan mengadakan persembahan eksklusif "Music of the Soul: An evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza" pada 5 dan 6 November depan di Dewan Plenary KLCC.

Jelas penyanyi yang mesra disapa Tok Ti, hasil jualan tiket akan disalur kepada Yayasan Nurjiwa bagi meneruskan misi bantuan bencana alam ke Palestin.

"Sasaran kutipan RM1 juta untuk dua malam (5 dan 6 November), semua untuk Yayasan Nurjiwa. Tapi kalau orang perseorangan atau syarikat yang nak buat sumbangan pun boleh tak ada masalah, kita terbuka.

"Sebab sekarang pun kita masih kutip dana di bawah Tabung Bantuan Khas Bencana Alam, Palestin dan COVID-19 dengan kerjasama Kita Fund.

Siti berkata, kutipan dana ni bukan pertama kali, kerana beliau sudah beberapa kali mengadakan persembahan amal seumpamanya.

Selain itu, katanya masyarakat juga turut menyumbang menerusi tabung yang dilancarkan.

"Pada mulanya nak buat setakat musibah dan bencana saja, tapi fikir semula, sebaiknya teruskan saja dan bergabung dengan Yayasan Nurjiwa.

"Kalau diikutkan hasil dari jualan tiket, setelah kos, memang salurkan ke Yayasan Nurjiwa. Macam mana nak bahagikan, nanti pihak yayasan akan bahagikan.

"Jadi, kutipan persembahan ini juga bukan untuk sekolah kami di Gaza saja, tapi khusus untuk semua," katanya pada Sidang Media Music of The Soul: An Evening with Dato' Sri Siti Nurhaliza.

Menurut Siti, beliau dan suami memasang impian untuk ke Gaza bagi melawat sekolah yang mereka tubuhkan itu.

"Rasa nak pergi, dan menjadi impian saya dan suami nak ke sana. Insya-Allah, bila keadaan mengizinkan.

(Siti Nurhaliza pada sidang media persembahan amal Music of the soul-
An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan diadakan di Dewan Plenary KLCC)


"Insya-Allah, nak dirikan sekolah sendiri juga. Macam yang saya cakap, apabila ada rezeki dan ramai membantu, boleh menjadi kenyataan. Lebih daripada itu kita boleh buat," katanya.

Lebih menarik, yayasan tersebut telah membina sekolah di GAZA yang diberi nama Afwa & Afiyah sejak 5 Oktober lalu.

Siti, 43, sekolah yang ditubuhkan menerusi Yayasan Nurjiwa bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K itu kini diuruskan oleh sahabat mereka yang juga orang tempatan di sana.

"Alhamdulillah, setiap bulan saya dan suami secara peribadi serta Yayasan Nurjiwa membuat sumbangan untuk keperluan sekolah itu. Kita nak berterusan dan semuanya daripada kami. Kalau ada rezeki lebih, contoh setiap kali saya ada persembahan, menjadi duta, memang saya peruntukan, agihan zakat saya atau apa, untuk dibahagikan juga kepada pembelajaran kanak-kanak di sekolah itu. Sekarang sudah ada hampir 50 pelajar.

"Buat masa sekarang, sekolah itu diuruskan oleh sahabat baik kami di sana. Dia akan mengemaskini apa saja aktiviti pelajar di sana, seperti pengajian, ujian, hafazan, peperiksaan, malah ketika hari jadi saya dan kedua-dua anak, mereka mengadakan doa selamat di sana.

'Sekolah ini sudah hampir setahun beroperasi. Setakat ini kami menyewa tempat dulu termasuk tenaga pengajar pun kita yang bayar. Setiap bulan memang diperuntukkan RM10,000, kadang lebih dari itu, sebab ada nak beli buku dan sebagainya. Tapi amaun itu memang tetap," katanya.

Media Baharu