(Lagu "Permataku" sudah berada di semua platform digital dan video muzik (MV)
pula boleh ditonton melalui YouTube saluran Indigital Music mulai jam 3 petang semalam)
KUALA LUMPUR, 24 Julai- Diuji kehilangan cahaya mata yang dinantikan selama 10 tahun hampir dua tahun lalu,vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat tidak berputus asa berusaha untuk mendapatkan lagi zuriat.
Selepas pemergian anak sulung, Allahyarham Khairul Afnan selepas tiga hari dilahirkan, September tahun lalu,Azmi kini bagaikan sudah berdamai dengan takdir.
Bangkit daripada kesedihan itu, Azmi tampil dengan sebuah naskhah solonya berjudul Permataku.
Lagu berkenaan merupakan hasil karya Ajai serta lirik oleh Fedtri Yahya.
“Sebenarnya lagu ini sudah ada sebelum anak saya lahir lagi.
"Saya dan Ajai berbincang untuk merakamkan sebuah lagu sempena kelahiran orang baharu ketika itu.
“Apabila anak hanya sempat melihat dunia seketika sahaja, kami ada berbincang semula mengenai lirik dan sebagainya.
"Daripada perbincangan itulah kami mengubah sedikit hujung lagu ini sebagai ‘tanda’ kehilangan.
(Dilancarkan secara rasmi pada 22 Julai, "Permataku" merupakan terbitan
Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan edaran Indigital Music)
"Lagu ini bukanlah terlalu sedih menceritakan tentang kehilangan, ia juga tentang pereasaan gembira bila kita ada orang baharu dalam hidup, ia adalah lagu cinta.
"Dari segi emosi saya dapat mengawalnya supaya tidak menganggu penyampaian lagipun rakaman dibuat ketika kehilangan sudah berlalu lebih 3 bulan.
"Saya hanya mengingati momen gembira seperti saat menyambut dan melaungkan azan ke telinganya ketika rakaman lagu. Nikmatnya tetap ada, walaupun hanya dapat memegangnya seketika," katanya
Bercerita lanjut keinginan mendapatkan anak, buat masa ini, penyanyi lagu Hanya Nama Mu itu tidak mahu menekan isterinya, Nazira Muhammad kerana enggan emosinya terus terganggu disebabkan masih bersedih atas kehilangan cahaya matanya itu.
"Kami akan terus mencuba mendapatkan cahaya mata, jadi, tiada istilah berputus asa. Kami tiada halangan untuk mendapatkan anak lagi.
"Cuma, saya tidak mahu terburu-buru, isteri pula belum bersedia selepas pemergian arwah Khairul Afnan.
"Kesedihan saya selama ini lebih kepada mengenangkan isteri. Dia tidak boleh tidur nyenyak apabila kehilangan arwah.
"Selepas pengebumian arwah, isteri banyak mengigau mengenangkannya. Jadi, peranan saya menenangkan perasaannya.
Apapun sejak kebelakangan ini, saya nampak keadaan isteri semakin baik dan kembali ceria, emang untuk melupakan seratus peratus agak mustahil, setiap dua minggu kami tetap akan pergi melawat kubur anak kami," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung perkembangan penerbitan album penuh Caliph Busker, Azmi mengakui kumpulan itu sudah merakamkan beberapa buah lagu.
"Kami mahu buat pemilihan lagu yang betul-betul sesuai supaya album Caliph Busker dapat benar-benar diterima.
"Kami cuma masih menunggu material yang baik dan masa yang sesuai sebelum lancar album ini nant," katanya,