PETALING JAYA, 22 Julai - Penyanyi popular Wany Hasrita, 30, selamat bernikah dengan jejaka pilihannya Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, dengan dua kali lafaz, di Glam Hall, Damansara Perdana, pada pukul 9.11 malam tadi.
Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.
Pada majlis itu, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian. Manakala wang hantaran dirahsiakan serta tidak ada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.
Wany yang popular menerusi lagu Menahan Rindu berkata, dia bersyukur majlis yang dirancang berjalan lancar dan berterima kasih kepada keluarga, rakan dan peminat yang sentiasa mendoakan yang baik-baik buat dirinya.
Berkongsi mengenai lelaki yang berjaya menambat hatinya yang juga bekerja dalam bidang penerbangan di Kuching, Sarawak, mereka tidak pernah isytihar menjadi kekasih namun mengambil keputusan untuk membawa hubungan ke fasa yang lebih serius.
"Jika diikutkan, saya sudah kenal Adib sejak 2010 lagi melalui rakan baik saya yang juga sepupunya dan waktu itu pun saya belum menjadi penyanyi lagi.
“Pada 2019 barulah kami mulai menjadi rapat. Jadi, kami mula mengikuti antara satu sama lain dalam Instagram dan banyak berhubung di situ," katanya.
Menurut Wany, dia dan Adib memilih untuk bertunang pada 26 Februari lalu sebelum mengakhiri perhubungan mereka di jenjang pelamin pada hari ini.
“Bukan rahsia sebenarnya. Saya pun belajar daripada pengalaman sebelum ini yang mana selagi belum ada ketetapan yang sahih dalam perhubungan itu tidak perlu dikongsikan.
"Jadi dalam perhubungan kali ini, saya mengambil pendekatan biar semuanya sudah ‘confirm’ barulah kita kongsikan.
“Lagi pula dia juga bukan seorang yang cenderung kepada media sosial. Dia tak suka menonjolkan diri apatah lagi di media sosial. Jadi saya kena belajar untuk menjaga privasi itu. Walaupun dia jenis tak kisah, tapi saya sendiri yang nak menjaga atas dasar menghormati,” katanya.
(Wany Hasrita selamat bernikah dengan jejaka pilihannya Mohd Al-Adib Fahmi Harun pada 9.15 malam tadi)
Ditanya mengenai penerimaan suami terhadap status dirinya, Wany berkata Adib sangat memahami kerjayanya sebagai seorang selebriti tanah air.
“Macam dikatakan, dia bukan jenis ‘kaki media sosial’. Disebabkan itu dia tak ambil tahu sangat. Lagu saya pun dia tak tahu banyak, jauh sekali soal gosip. Pendek kata, suami bukan seorang yang minat dalam industri hiburan.
“Alhamdulillah, dia menerima saya seadanya dan sangat baik. Dia memahami kerjaya saya dan tak kacau. Cuma berpesan apa yang perlu dijaga, kena jaga.
"Pendek kata, dia meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menjaga diri. Dalam masa sama, dia pun tahu siapa kawan-kawan saya, sebaliknya begitu juga saya,” katanya.
Melalui perhubungan jarak jauh selama ini, Wany berkata mereka menjalaninya dengan baik sahaja selain Adib yang juga berasal dari Kuching, Sarawak.
“Kami okay saja hubungan jarak jauh. Kami menjalani hubungan ini macam biasa dan tak ada isu pun. Nak kata keluar bersama, memang jarang sekali.
"Sepanjang tiga tahun ini, boleh kira tak lebih 10 kali. Di IG memang tak pernah letak pun gambar dia. Yang tahu saja tahu,” katanya lagi.
Kira-kira 300 tetamu hadir memeriahkan majlis pernikahan terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan terdekat dan media.
Majlis kesyukuran bagi meraikan pasangan pengantin baharu ini akan diadakan pada 24 Julai ini bertempat di Cheras, Kuala Lumpur.