KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Peserta termuda, Sitara Muhammad Hisyam Abdul Rahim, 22 dinobatkan sebagai juara Bintang Klasik 2023 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 berserta sebuah motosikal.
Menurut Hisyam kemenangan itu menjadi titik permulaan baginya untuk terus perjuangkan muzik klasik agar tidak luput dek zaman.
"Saya rasa berpuas hati dapat membuat persembahan dan mendendangkan lagu-lagu klasik dengan baik.
"Saya memang minat dengan lagu-lagu klasik sejak kecil. Jadi golongan muda seperti saya perlu mengangkat lagu-lagu klasik itu supaya tidak ditenggelami zaman," katanya kepada pemberita selepas dinobatkan sebagai juara Bintang Klasik 2023 di Angkasapuri Kota Media di sini.
Sementara itu bagi Pengurus Radio Klasik Fathil Hidyat Ghazali menyifatkan kemenangan Hisyam pada malam Kemuncak Bintang Klasik 2023 sebagai tepat selain memberikan persaingan kepada enam peserta lain.
"Memang sesuai kemenangannya dengan persembahan ini. Saya rasa bukan seratus peratus dia memberi 200% dalam pertandingan ini dan saya tidak pernah lihat persembahan sebaik ini daripada beliau," katanya.
Hisyam mempertaruhkan lagu berjudul Insan dan Bunga yang pernah dipopularkan oleh Tiar Ramon dan lagu kedua Dendangan Laguku (Carefree).
Bagi naib juara, ia menjadi milik Firdaos yang membawa pulang wang tunai RM20,000 manakala Nadia menduduki tempat ke-3 yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.
Pertandingan itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan Datuk Jefry Din, Wann, Raja Ema dan Azlina Aziz.
Barisan juri bagi pertandingan pencarian Bintang Klasik 2023 ialah Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri; Datuk Wah Idris; Datuk S. Atan dan Manan Ngah.