fb fb fb fb fb

Siaran langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di RTM dalam dwibahasa

Timbalan Pengarah Seksyen Ehwal Semasa RTM, Rahayu Wahid

KUALA LUMPUR, 19 Julai- Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan pembaharuan dalam siaran langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 esok dengan menyiarkan upacara gilang-gemilang itu dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Timbalan Pengarah Seksyen Ehwal Semasa RTM, Rahayu Wahid berkata, ini pertama kali RTM menyiarkannya secara dwibahasa memandangkan ada permintaan dari media negara luar untuk mendapatkan rakaman upacara tersebut.

"Saksikan bagaimana istiadat ini berlangsung kerana ini adalah satu istiadat ataupun acara gilang gemilang negara yang turut akan bersiaran di Bahrain dan Brunei. Sama-sama kita tonton istiadat yang berlangsung lima tahun sekali ini,"katanya.

Jelas Rahayu, seramai 250 orang petugas akan terbabit untuk upacara siaran langsung ini melibatkan tim produksi, teknikal dan radio.

Siaran langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula pada pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala untuk siaran Bahasa Inggeris iaitu di saluran Berita RTM akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE